Novel-novel Ramlah Rashid

Friday, December 08, 2006

3 jadi 5

Syukur alhamdulillah, walaupun novel KABUS SENJA adalah novel ke 3 yang saya hasilkan tetapi menjadi terbitan ke 5, namun saya tetap berasa gembira dan lega.

KABUS SENJA telah saya ajukan kepada Creative sejurus selepas penghantaran MEMORI RINDU. Sebanarnya KABUS SENJA adalah kembar kepada MEMORI RINDU. Disebabkan prinsip Creative hanya menerbitkan sebuah novel untuk seorang penulis dalam setahun, KABUS SENJA disimpan untuk tahun berikutnya. Malang bagi KABUS SENJA apabila ia akhirnya tercicir dari senarai panjang penerbitan Creative. Bukan salah sesiapa, cuma suatu insiden yang tidak dapat dielakkan. Itu cara saya memujuk hati sendiri.

Saya menyiapkan KABUS SENJA sama waktu dengan MEMORI RINDU dan dihantar sebulan terlewat (Nov. 2004). Malangnya sebulan demi sebulan, KABUS SENJA seakan dilupai. Setelah saya menghubungi pihak editor, mereka menyatakan kesilapan itu. Saya minta menariknya kembali untuk tujuan pembetulan di banyak tempat kerana setelah lama diperam, saya mendapati banyak kelemahan. (Syukur juga ia lewat diterbitkan, saya berjaya mengesan kekurangannya).

Semalam saya menerima surat dari Creative menyatakan KABUS SENJA akan diterbitkan tahun depan (2007). Meski 3 tahun berlalu namun saya tetap menunggu kelahirannya. KABUS SENJA begitu bermakna pada saya. Ceritanya mengimbau zaman persekolahan saya dan mungkin juga semua yang pernah bergelar pelajar sekolah menengah (peringkat SPM).

Betapa getirnya saya (murid sekolah kampung) menempuh pahit manis untuk sampai ke tangga itu, meski mungkin ramai di antara pelajar kini yang mungkin dengan senyum tawa berjaya menyudahkannya.

NORAIN ANAK SEORANG PENGEDAR DADAH & DIJATUHI HUKUMAN MATI. NORAIN SEMPAT MEMBESAR DI DALAM PENJARA BERSAMA IBUNYA YANG DITUDUH MEMBERI KENYATAAN PALSU DEMI MENYELAMATKAN SUAMI TERCINTA. NORAIN MEMBESAR DENGAN MENITI KEHIDUPAN BERTEMAN MEMORI SILAM YANG BEGITU KELAM. JIKA REMAJA SEUSIANYA TERSENYUM SENANG DENGAN KEMEWAHAN DAN KASIH SAYANG ORANG TUA MEREKA, NORAIN BERLAINAN. TIAP DETIK IA CUBA MELUPAKAN PENDERITAAN BERGELAR ANAK BANDUAN NAMUN DI SAAT DIA HAMPIR MELANGKAH KE DEWAN PEPERIKSAAN (SPM) IBUNYA PULA PAMIT UNTUK SELAMANYA.

NORAIN TERUMBANG-AMBING MENCARI ARAH. DI BANDAR SERBA MENCABAR INI, DIA SEBATANG KARA. MUJUR MUNCUL SEORANG GURU (CIKGU NAWAWI) YANG BEGITU PRIHATIN MENGAMBILNYA SEBAGAI ADIK ANGKAT DAN MEMBIMBINGNYA SEHINGGA BERJAYA JUA MENCAPAI CITA2NYA (KE MENARA GADING)

MESKI TERPAKSA, DIA BERSETUJU BERGELAR ISTERI KEPADA GURU ITU DEMI SAHABAT TERSAYANG (FARISYA) YANG RUPA2NYA TURUT MENCINTAI KEKASIH DI ZAMAN REMAJANYA (SYAFIQ). DENGAN MENCAGARKAN KASIH CIKGU NAWAWI, NORAIN MELALUI KEPAHITAN SEBAGAI MENANTU YANG DIBENCI IBU MENTUA HANYA KERANA SIRAH KELUARGANYA YANG KELAM.

SYAFIQ MENOLAK CINTA FARISYA, DENGAN ITU BERAKHIRLAH SUDAH PERSAHABATAN YANG SEKIAN LAMA TERJALIN.

BAGAIMANA NORAIN MELUPAKAN KASIHNYA PADA SYAFIQ DAN MENGGUGURKAN NAMA FARISYA DARI HIDUPNYA, TUNGGU TERBITNYA KABUS SENJA.

Saturday, December 02, 2006

Novel ke 4...

Ha, berdebaran saya menungguh kelahiran novel ke 4 tidak sehebat debarannya sewaktu saya menunggu kelahiran anak ke 4, 11 tahun dulu. Saban hari memikirkan, bagaimana rupa novel saya dan bagaimana penerimaan khalayak pembaca.

Dalam novel itu saya mahu mengangkat permasalah yang sering dialami kaum wanita (isteri) dan sedikit panduan kepada para suami yang mungkin tidak faham apa mahunya isteri yang nampaknya tidak mempunyai perasaan marah apatah lagi untuk menunjukkan pemberontakan. Apakah mereka ini tidak berperasaan? selami perasaan mereka dalam SARA KIRANA, terbitan BUKU PRIMA.